Covid-19: Sebanyak 65 Peratus Penduduk Pulau Gaya Diperiksa

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sebanyak 65.6 peratus penduduk di Pulau Gaya telah diperiksa dengan 1,600 sampel telah diambil bagi mengawal dan mencegah jangkitan wabak Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kesemua sampel itu diambil sepanjang tempoh tiga hari bermula 28 hingga 30 Mac melalui pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19.

Langkah ini merupakan susulan daripada keputusan kerajaan Sabah menghentikan serta-merta pergerakan penduduk dari Pulau Gaya ke tanah besar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha membendung penularan jangkitan wabak berkenaan

Beliau berkata, sehingga semalam seramai 809 orang telah ditempatkan di pusat kuarantin dan lapan orang telah dibenarkan pulang semalam.

Christina berkata, setakat 30 Mac, 6,538 orang diarahkan menjalani perintah kuarantin di bawah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

“Daripada jumlah itu, 5,567 orang kontak rapat masih dalam perintah pengawasan dan pemerhatian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sementara, 971 orang telah tamat tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Tambahnya, sehingga semalam sebanyak 23 pusat kuarantin telah dibuka dengan penambahan dua lokasi baharu iaitu Institut Latihan Kementerian Kesihatan, Tawau dan Asrama Linawa Kompleks Sukan Ranau.

Mengenai pemeriksaan premis melalui Operasi Bersepadu PKP yang dijalankan oleh Unit Inspektorat & Perundangan JKNS bersama Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) telah memeriksa 309 premis perniagaan.

Daripada jumlah premis yang diperiksa, tiga mesin menjual air di Sandakan diarahkan untuk ditutup di bawah Seksyen 18(1)(f) APPPB 1988.

Justeru, Christina berkata, JKNS akan terus berusaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang Covid-19 menerusi 13 Unit Bergerak Promosi Kesihatan yang akan melakukan hebahan awam setiap hari di seluruh negeri.

“Selain itu, orang awam turut dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih berkaitan Covid-19 menerusi laman Facebook Unit Promosi Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan (KKM) atau Telegram CPRC KKM,” katanya.