Covid-19: Sebanyak 35 Kes Baharu, Satu Kematian Di Tawau

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Satu kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Tawau semalam dikesan melalui saringan kematian di luar hospital.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan berkata, dengan tambahan satu kes itu, kes kematian di Sabah setakat ini adalah sebanyak 13 kes.

Setakat semalam, jumlah kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 1,877 kes dengan tambahan 35 kes positif baharu. Itu menjadikan jumlah kes aktif di Sabah sehingga kini sebanyak 842 kes, dengan 1,022 kes telah pulih.

Daripada 35 kes baharu yang dilaporkan semalam, Tawau mencatatkan 10 kes, Semporna (11), Lahad Datu (1), Kota Kinabalu (1), Sandakan (3), Tuaran (1), Papar (4), Putatan (3), Pitas (1).

Sehingga kini terdapat 1,797 orang masih menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari. Sebanyak 19 pusat kuarantin masih dibuka untuk menempatkan 1,100 orang.

Setakat ini empat kes baharu dari kluster Benteng dan sembilan kes kluster Bangau-Bangau. Secara keseluruhan Kluster Benteng LD sudah mencecah 879 kes manakala, kes dari kluster Bangau-Bangau mempunyai sebanyak 287 kes.

Untuk premis yang gagal patuhi prosedur operasi standard, sebanyak empat notis kompaun telah dikeluarkan.