COVID-19: Sebanyak 348 Kes Positif, Tiga Kematian

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 348 kes, tiga kematian dan satu kluster baharu, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, satu kluster baharu yang dikesan adalah kluster Industri Apas, Tawau yang melaporkan dua kes baharu dengan kumulatif 22 kes.

Kes indeks kluster ini dikesan daripada penjaga stor kilang udang di Batu 3 di Mukim Sri Tanjung, Tawau melalui saringan bergejala.

Manakala, kes kematian yang dilaporkan hari ini adalah dua kes di Sandakan dan satu kes di Beaufort.

Masidi berkata, daripada 348 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 64 kes, diikuti Tawau (60), Sandakan (34), Lahad Datu (33), Papar (26), Keningau (22), Kudat (21), Penampang (16), Kunak (15), Kinabatangan (13), Kota Belud (11), Putatan (6), Tuaran (5), Beluran (5), Sipitang (4), Beaufort (3), Telupid (3), Tambunan (2), Kuala Penyu (2) dan satu kes di Kota Marudu, Ranau dan Nabawan.

Menurutnya, daripada 348 kes positif itu, sebanyak 251 kes atau 72.1 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 50 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 20 kes, saringan pelajar masuk asrama satu kes, saringan Perkeso satu kes dan 25 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 400 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 42,806 kes. Kes kematian di Sabah bertambah kepada 315 kes.

Setakat ini, sebanyak 47,139 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,678 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 832 orang di hospital dan 1,827orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 91 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,798 katil dan peratus penggunaan adalah 39.9 peratus.