Covid-19: Satu Lagi Kes Baharu Direkodkan Di Tuaran

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan satu kes positif Covid-19 di Tuaran menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 379 dengan tujuh kematian.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon memaklumkan, terdapat tiga kes yang dilaporkan pulih hari ini.

Menurutnya, Sabah kini merekodkan enam kes aktif yang masih berada di wad berbanding lapan kes semalam.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan satu lagi kes kematian akibat jangkitan Covid-19 selepas 27 hari tiada mangsa maut dilaporkan.

Justeru, jumlah kumulatif kematian meningkat sebanyak 122 kes setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian itu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 72 tahun yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Tambahnya, setakat 12 tengah hari ini, terdapat lapan kes baharu dilaporkan menjadikan 8,704 jumlah keseluruhan kes.

Katanya, daripada lapan kes baharu itu, empat kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan empat warga negara Malaysia.

Selain itu, empat kes penularan di dalam negara pula, dua daripada kes adalah dalam kalangan warga tempatan manakala dua kes lagi adalah bukan warganegara Malaysia.