Covid-19: Satu Kematian, Kes Positif Baharu Kekal Dua Angka Kali Ke-4

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Hanya satu kematian akibat jangkitan wabak Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di Malaysia menjadi 89 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian itu dilaporkan melibatkan lelaki berusia 51 tahun yang meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.

Beliau berkata, lelaki tempatan ini mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

Beliau berkata demikian semasa sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya, di sini hari ini.

Dua kes kematian pertama Malaysia adalah pada 17 Mac lalu melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun dari kluster perhimpunan tabligh di Johor dan paderi berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak.

Noor Hisham berkata, KKM melaporkan 84 kes positif baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 5,389 kes.

Bilangan kes positif baharu dua angka ini adalah kali keempat dilaporkan dalam minggu ini.

Pada 15 April (85 kes); 17 April (69 kes) dan semalam 54 kes.

Setakat ini, bilangan kumulatif kes yang pulih adalah sebanyak 3,197 kes.

Seramai 46 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 26 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.