COVID-19: Satu Kematian, 290 Kes Positif Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 90 kes atau 31 peratus daripada keseluruhan 290 kes positif baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini adalah dari saringan kluster baharu dan kluster sedia ada.

Kluster baharu yang dilaporkan hari ini adalah kluster Batu Lima yang mencatatkan 27 kes positif. Kluster ini wujud hasil saringan kontak rapat di kilang besi yang sebelum ini mencatatkan satu kluster, iaitu kluster Jalan Tuaran.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, daripada 290 kes baharu itu, 128 kes pula dikesan dari saringan kontak rapat, 23 kes dari saringan bergejala, 11 kes dari saringan komuniti dan 38 kes dari lain-lain kategori.

Untuk hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 90 kes, diikuti dengan Sandakan (74), Tawau (39), Lahad Datu (28), Penampang (26), Kota Belud (13), Putatan (9), Tuaran (8), Papar (2) dan Pitas (1).

Hari ini daerah Keningau berubah dari zon merah kepada zon jingga manakala, Kalabakan berubah dari zon jingga kepada zon kuning.

Sebanyak satu kes baharu dilaporkan hari ini di Tawau dan ia menjadikan bilangan kumulatif kes kematian di Sabah sehingga kini sebanyak 208 kes.

Sementara, sebanyak 315 kes sembuh dilaporkan, dengan bilangan kumulatif kes sebanyak 25,108 kes.

Setakat ini, sebanyak 28,445 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,252 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 649 orang di hospital dan 1,603 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 70 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat tambahan PKRC baharu di Sandakan hari ini iaitu PKRC Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan dengan 500 katil serta tambahan 20 katil di PKRC Dewan Masyarakat Papar. Peratusan penggunaan katil pula adalah 31.7 peratus.