Covid-19: Sabah Seperti Perang Bersendirian, Di Mana YB Persekutuan?

ISMAIL AYOB

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Di mana perginya semua menteri dan timbalan menteri Persekutuan dari Sabah yang dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini?

Ketika Sabah mengalami kekurangan peralatan terutama kit ujian Covid-19, kerajaan negeri terpaksa bersendirian dalam memastikan wabak tersebut dapat dikawal, sebaliknya pemimpin-pemimpin Kabinet Persekutuan itu pula seperti menghilangkan diri.

Demikian persoalan dilontarkan Timbalan Ketua Wira Warisan Pusat, Mohd. Ismail Ayob selepas melihat kerajaan negeri terpaksa bekerja keras memerangi Covid-19 secara sendirian dan terpaksa mengharapkan bantuan daripada badan kebajikan untuk membeli kelengkapan kesihatan.

“Persoalan saya di manakah yang berhormat-yang berhormat daripada Kerajaan Persekutuan yang berasal dari Sabah yang dilantik dalam Kabinet Perikatan Nasional, sepatutnya mereka ini mengetepikan dulu soal politik mengapa tidak dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  kepentingan rakyat Sabah diutamakn.

“Mengapa pula kita tidak menerima sumbangan dan bantuan daripada pihak lain, sekali lagi kepada menteri dan timbalan menteri Persekutuan tolongah jenguk rakyat Sabah mengapa tidak dalam keadaan seperti ini kita bersama-sama mencari inisiatif bagaimana menengani keperluan serta kekurangan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial penulisan seorang individu yang mendakwa Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal gagal mengutamakan keselamatan rakyat Sabah apabila membeli kit ujian dari China yang didakwa tidak tepat.

Gambar yang tersebar di media sosial mempersoalkan peranan pemimpin Persekutuan membantu Kerajaan Sabah.

Penulisan berat sebelah individu itu langsung tidak mempersoalkan kenapa Sabah kurang menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam mendapatkan peralatan kesihatan diperlukan.

Artikel tersebut juga tidak mengulas langsung tentang bagaimana Pakej Bantuan Covid-19 Sabah berjaya membantu rakyat Sabah terutama golongan yang sangat terjejas sejak PKP seperti rakyat miskin.

Mengulas lanjut, Mohd. Ismail menyifatkan individu itu sebagai gila dan buta kerana tidak dapat melihat bagaimana rakyat Sabah berada di belakang Ketua Menteri untuk menyokong beliau memimpin negeri memerangi wabak berkenaan.

“Pengumuman pakej bantuan untuk Sabah mampu memberikan bantuan kepada rakyat Sabah sehingga ke akar umbi dan bandar, dia boleh melihat sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin kerajaan negeri turun padang memastikan bantuan sampai kepada sasaran.

Sementara itu katanya, RM200 juta yang disediakan dalam pakej bantuan itu tidak sepatutnya dipersoalkan kerana langkah sama yang diambil Perikatan Nasional untuk memastikan ekonomi pulih sebaik sahaja PKP berakhir.

“Pakej bantuan Sabah ini kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain hanya Sabah sahaja yang memberikan bantuan makanan kepada semua ketua isi rumah dan saya minta dia meneliti semua pakej dari negeri-neri lain.

“Sebagai rakyat Sabah kita bersyukur kerana mempunyai Ketua Menteri yang bertanggungjawab kepada rakyatnya,” katanya.