COVID-19, Sabah Sekat Kemasukan Individu Dari Empat Negara

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah hari ini memutuskan untuk menyekat kemasukan individu dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka ke negeri itu bagi mengekang penularan COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata sekatan itu, yang berkuat kuasa mulai esok (3 Mei), adalah langkah penting bagi mencegah kemasukan COVID-19 varian baharu.

“Pengecualian masuk ke Sabah diberikan kepada rakyat Sabah, pasangan suami isteri dan anak kepada rakyat Sabah sahaja.

“Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi prosedur kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kru kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari keempat-empat negara dalam tempoh 14 hari juga tidak dibenar menjalankan prosedur ‘sign off’ di Sabah.

Katanya bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kru kapal rakyat Malaysia namun mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan.