COVID-19: Sabah Catatkan Kes Terendah Sejak 29 Mac 2021, 40 Kes Positif Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kes jangkitan baharu COVID-19 yang terendah sejak 29 Mac tahun lalu dengan 40 kes positif baharu dilaporkan hari ini, penurunan 11 kes berbanding 51 kes semalam.

Ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 370,630 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Keningau menjadi daerah tunggal di Sabah yang mencatatkan kes baharu dua angka dengan 10 kes hari ini. Tidak ada kes jangkitan dilaporkan di Keningau semalam.

Katanya, 9 daripada 10 kes jangkitan di Keningau melibatkan OKT (Orang Kena Tahan).

Kota Kinabalu yang melaporkan jumlah jangkitan dua angka semalam merekodkan hanya 6 kes baharu hari ini, penurunan 7 kes berbanding 13 kes semalam.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata
keadaan di Sabah secara keseluruhan terus bertambah baik.

“Tiada kes jangkitan baharu dilaporkan di 13 daripada 27 daerah di Sabah dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Sebanyak 13 daerah lagi mencatatkan kes baharu satu angka di mana 6 daripadanya hanya merekodkan satu kes jangkitan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata 37 daripada 40 pesakit baharu hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

1 kes dalam kategori 3 (jangkitan atau
radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 1 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala 1 kes dalam kategori 5 (pesakit kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).