Covid-19: Sabah Catat Sifar Jangkitan Baharu

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Sabah tidak mencatat sebarang kes jangkitan Covid-19 pada hari ini dan jumlah keseluruhan kes masih kekal sebanyak 343.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, setakat ini, 11 daerah masih mencatat kes aktif dengan jumlah tertinggi Kota Kinabalu sebanyak 10 kes dan Lahad Datu sebanyak lima kes.

Terdapat empat daerah yang mempunyai empat kes aktif iaitu Tawau, Kinabatangan, Tuaran dan Semporna, manakala Keningau mempunyai dua kes aktif.

Penampang, Beaufort, Ranau dan Kota Marudu masing-masing mempunyai satu kes aktif.

Bilangan kumulatif kes pulih setakat ini juga masih kekal sebanyak 305 kes.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan lima kes iaitu tiga kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

Walau bagaimanapun, kes baharu Covid-19 meningkat secara mendadak di peringkat Malaysia pada hari ini, iaitu sebanyak 172 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata, 112 kes membabitkan individu yang ditahan di tiga depot tahanan imigresen.

Seramai 32 orang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 5,979 kes.

Tiada kes kematian dilaporkan hari ini dan bilangan kes kematian di negara ini masih kekal sebanyak 115.