Covid-19: Sabah Catat Sifar Jangkitan Baharu Buat Hari Keempat

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Penularan wabak Covid-19 di Sabah semakin terkawal selepas mencatatkan rekod tiada kes baharu selama empat hari berturut-turut termasuk hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat di laman Facebooknya berkata, kes positif di Sabah kekal sebanyak 315 sementara seramai 275 pesakit telah pulih, termasuk empat pesakit hari ini.

Menurut statistik terbaharu Sabah, kawasan zon merah juga beransur pulih di mana Kota Kinabalu hanya mempunyai 10 kes aktif, diikuti oleh Tawau dengan lapan kes dan dua kes di Lahad Datu.

Kes kematian Covid-19 terakhir di Sabah dilaporkan pada 13 April.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 30 lagi kes baharu Covid-19 baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan di negara  sebanyak 6,383 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 83 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah kes pesakit yang pulih sebanyak 4,567 pesakit.

Setakat hari ini, 24 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, lapan orang pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga mengumumkan satu kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kes kematian di negara sebanyak 106 orang.

Kes kematian ke-106 itu merupakan lelaki warganegara Malaysia berusia 47 tahun.

Beliau dimasukkan ke hospital swasta pada 15 Mac dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada 16 Mac setelah didapati positif Covid-19.

Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 2.10 pagi, hari ini.