Covid-19: Sabah Catat Lima Kes Baharu

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 206 apabila lima lagi disahkan hari ini termasuklah 12 kes yang sudah pulih.

Setakat ini, Tawau yang mendahului Lahad Datu sejak 21 Mac lalu kekal sebagai daerah yang tertinggi kes Covid-19 iaitu sebanyak 63 kes, diikuti Lahad Datu 35 kes termasuklah tujuh kes yang sudah pulih manakala Kota Kinabalu kekal 29 kes.

Sementara itu, Sandakan mencatatkan 16 kes hari ini termasuklah tiga kes yang sudah pulih, Kinabatangan 14 kes dan daripada jumlah itu dua kes sudah pulih.

Manakala daerah seperti Tuaran, Beaufort, Kunak, Putatan, Kota Belud Sipitang, Papar, Ranau, Penampang, Semporna dan Tambunan tidak menunjukkan sebarang peningkatan kes hari ini.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 43 kematian di seluruh Malaysia termasuk enam kes kematian terbaru hari ini.

Setakat ini, KKM melaporkan peningkatan kes harian  sebanyak 140, menjadikan jumlah keseluruhan 2,766 kes termasuklah 537 kes yang sudah pulih.

Seramai 94 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 60 memerlukan bantuan pernafasan.