Covid-19 : Sabah Catat Lebih 200 Kes Positif Baharu, 85% Jangkitan Sporadik di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan 208 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini, peningkatan 16 kes berbanding 192 kes semalam

Ini kali kedua kes positif baharu harian di Sabah melepasi angka 200 dalam tempoh 4 hari.

Pada 7 Julai lalu, Sabah turut merekodkan kes positif baharu Covid-19 melebihi 200 dengan 205 kes dilaporkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kes
jangkitan baharu di Kota Kinabalu meningkat sebanyak 33 kes atau 46% kepada 104 kes hari ini, berbanding 71 kes semalam.

Katanya hampir 85% daripada kes positif baharu di Kota Kinabalu adalah melalui jangkitan sporadik.

Lima daerah mencatatkan kes jangkitan baharu dua angka, iaitu Penampang 30 kes, Sandakan 23 kes, Lahad Datu 12 kes, Papar 11 kes dan Tuaran 10 kes.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata 13
daerah tidak mencatatkan sebarang kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

Tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Masidi mengingatkan orang ramai di Sabah agar terus menjaga diri dan keluarga dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) khususnya amalan pemakaian pelitup muka setiap kali berhimpun atau berada di khalayak ramai.

Menurut Masidi, 206 daripada 208 kes yang direkodkan hari ini bersamaan 99.03 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

2 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau
radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala tiada kes dalam kategori 3 dan 5.