COVID-19 : Sabah Catat Kes Jangkitan Bawah 100 Buat Hari Ketiga Berturut-turut, 58 Kes Hari Ini

KOTA KINABALU: Jumlah kes jangkitan baharu COVID-19 di Sabah terus berada di bawah angka 100 buat hari ketiga berturut-turut.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Sabah merekodkan 58 kes positif baharu COVID-19 hari ini, penurunan 11 kes berbanding 69 kes semalam.

Angka ini adalah yang terendah sejak 14 Mei tahun lalu.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata situasi jangkitan virus itu di Sabah kian stabil.

Katanya, 13 daripada 27 daerah di negeri ini tidak mencatatkan sebarang kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Manakala 7 daerah merekodkan peningkatan jumlah kes baharu tetapi pada kadar yang marginal.

Kota Kinabalu kekal satu-satunya daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka dengan 22 kes hari ini.

Namun menurut Masidi, 62% daripada keseluruhan kes baharu hari ini adalah jangkitan sporadik.

“Peratusan tinggi ini adalah satu peringatan bahawa jumlah jangkitan harian boleh bertukar secara mendadak sekiranya masyarakat lalai mematuhi prosedur operasi standard SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata 54 daripada 58 pesakit baharu hari ini bersamaan 93.10 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala

1 kes dalam kategori 3 (jangkitan atau
radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 2 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala 1 kes dalam kategori 5 (pesakit kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).