Covid-19: Sabah Catat Enam Kes Baharu, Dua Pulih

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan enam kes baharu akibat jangkitan Covid-19 hari ini selepas dua hari berturut-turut tiada penambahan kes dilaporkan.

Sejak semalam, Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila Sabah berada di carta ke-7 di seluruh negara buat pertama kalinya selepas Pahang mengambil alih kedudukan itu iaitu sebanyak 338 kes yang dilaporkan hari ini, diikuti Selangor yang mempunyai kes tertinggi sebanyak 1650 kes, Kuala Lumpur 1588, Negeri Sembilan 776, Johor 669 manakala Sarawak 544 .

Sejak awal April sehingga Ahad lalu, Sabah kekal status quo sebagai negeri keenam tertinggi bagi kes Covid-19 di negara ini, namun sejak semalam dan hari ini Sabah kekal berada di kedudukan ke-7.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming memaklumkan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 adalah 337, daripada jumlah itu sebanyak 302  dilaporkan pulih termasuklah dua kes hari ini.

Menurut statistik terbaharu itu, Kota Kinabalu merekodkan empat lagi kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan di daerah itu sebanyak 58 kes manakala Tuaran dan Kinabatangan masing-masing melaporkan satu kes menjadikan jumlah keseluruhan kes di kedua-dua daerah itu sebanyak 23 kes masing-masing.

Sementara itu, jumlah korban akibat jangkitan wabak Covid-19 di Sabah  kini lima kes iaitu tiga di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  melaporkan satu kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 114 kes.

Setakat hari ini, KKM melaporkan 37 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 6,978 kes, termasuk 5,646 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Sebanyak 11 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, enam orang pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.