Covid-19: Sabah Catat Dua Kes Baharu

FRANKIE POON

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan dua kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini iaitu di daerah Lahad Datu dan Ranau.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, masih terdapat 33 kes aktif di negeri ini di mana jumlah kes tertinggi dicatat di daerah Kota Kinabalu dengan 10 kes, dan diikuti dengan Lahad Datu lima kes.

Manakala Tawau, Kinabatangan, Tuaran dan Semporna masing-masing mencatatkan tiga kes, dua kes di Keningau, dan satu kes di Penampang, Beaufort, Ranau dan Kota Marudu.

“Jumlah kes kumulatif di Sabah kini adalah 343 kes dan terdapat satu pertambahan kes pulih yang menjadikan kumulatif kes yang sembuh adalah sebanyak 305,” katanya melalui akaun Facebook beliau petang tadi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 60 kes baharu. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 kes.

Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut adalah 1,185 kes.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Walaubagaimanapun, terdapat 33 kes yang telah pulih dibenarkan pulang pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih Covid-19 sebanyak 5,945 kes.

Tiada kes kematian berkaitan dilaporkan setakat ini dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal sebanyak 115 kes.