Covid-19: Sabah Catat Dua Kes Baharu

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pertambahan dua kes jangkitan Covid-19 baharu hari ini dan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 346.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam laman Facebooknya mengesahkan bahawa kes terbaharu itu dikesan di daerah Kota Kinabalu dan Tawau.

Menurut statistik terbaharu, Kota Kinabalu mempunyai jumlah kes aktif yang tertinggi iaitu sebanyak lapan kes, diikuti dengan Tawau dan Lahad Datu masing-masing melaporkan empat kes.

Selain itu, Kinabatangan, Tuaran dan Semporna masing-masing merekodkan tiga kes aktif manakala terdapat satu kes aktif masing-masing di Ranau dan Penampang.

Manakala, bilangan kes sembuh di Sabah setakat hari ini adalah sebanyak 317 kes, termasuk empat kes pulih baharu.

Jumlah korban akibat wabak Covid-19 masih kekal sebanyak lima kes di mana Kota Kinabalu mencatatkan tiga kes kematian manakala Tawau dan Tambunan masing-masing mencatat satu kes.

Sementara itu, sebanyak 103 kes Covid-19 baharu di Malaysia dilaporkan pada hari ini, dan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,732 kes.

Dalam sidang media ptang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lonjakan kes baharu itu melibatkan jangkitan terhadap warga asing.

Daripada jumlah itu, 84 kes melibatkan warga asing dan hanya 12 kes melibatkan warganegara Malaysia. Selebihnya adalah kes import.

Setakat hari ini, seramai 66 pesakit telah sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 6,235 kes.

Mengambil kira kes yang telah sembuh, jumlah kes yang masih aktif di negara ini adalah sebanyak 1,382 kes.

Tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes.