COVID-19: Sabah Catat 203 Kes, Satu Kluster Baharu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 203 kes positif baharu dengan satu kluster baharu dan dua kes kematian, hari ini.

Kluster baharu itu adalah kluster Kupi-Kupi yang dikesan di Penampang dengan 12 kes dikesan positif setakat ini.

Kes baharu di Sabah itu menurun 68 kes berbanding 271 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripada lima kes kematian hari ini adalah di Sabah. Ia membabitkan satu kes di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Hospital Queen Elizabeth.

Kedua-dua pesakit lelaki warganegara itu berusia 61 dan 82 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi.

Tiga kematian lagi adalah satu kes di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan dua kes di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Johor.

Dengan tambahan lima kematian itu menjadikan kes kematian dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 393 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 226 kes.

Secara keseluruhan sebanyak 959 kes baharu di Malaysia. Daripada jumlah itu, 953 kes jangkitan tempatan dan enam kes import.

Hari ini sebanyak empat kluster baharu termasuk satu di Sabah. Tiga kluster lain adalah kluster Tapak Bina Ikon Bintang, Kuala Lumpur dengan 12 kes positif setakat ini, kluster Bandar Impian, Johor (9); dan kluster Jalan Kemang, Negeri Sembilan (19).

Sementara, bilangan kes pulih hari ini sebanyak 1,068 kes, dengan kumulatif kes pulih sebanyak 65,124 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 76,265 kes. Sebanyak 10,748 kes aktif dengan 127 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 61 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.