COVID-19: Ratusan Penduduk Kampung Di Kluster Baharu Saguking Pakai Gelang Tangan Hari Ini

LABUAN: Ratusan penduduk kampung dalam kluster baharu COVID-19 Saguking, Sebor di sini akan mula memakai gelang tangan kuarantin di rumah hari ini berikutan peningkatan kes positif di kampung yang sebahagian kecilnya dihuni pendatang tanpa izin.

Sekurang-kurangnya 30 kes baharu direkodkan semalam di kampung itu dan 18 daripada mereka adalah warga asing.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata saringan bersasar ke atas penduduk kampung itu di Saguking, Sebor diteruskan hari ini dan tindakan itu merupakan sebahagian daripada perintah duduk di rumah untuk memastikan penduduk kampung berada dalam jejari lingkungan yang dibenarkan.

“Kami sedang melakukan yang terbaik bagi mendapatkan semua penduduk kampung di Saguking, Sebor untuk memakai gelang tangan itu supaya mereka duduk di rumah serta  tidak merayau di bandar dan menjadi risiko kepada masyarakat tempatan, katanya kepada Bernama.    

Saringan yang bermula 10 pagi tadi, dilaksanakan di atas balai raya terapung dalam kampung air itu dengan beberapa  merinyu kesihatan dan pegawai perubatan ditempatkan di sana bagi tujuan itu.

Saguking, yang terletak kira-kira 400 meter dari pusat bandar ialah sebuah kampung Melayu Brunei-Kedayan tetapi beransur-ansur terbahagi kepada dua bahagian dengan kawasan di sebelah lembah bertukar kepada setinggan kampung air dikenali sebagai Saguking, Sebor.

Dr Ismuni berkata satu lagi penempatan di atas air Kampung Patau-Patau 1 dan 2 juga menyaksikan ratusan penduduk kampung termasuk kanak-kanak terlibat dalam saringan bersasar itu beratur untuk ujian swab dan “polymerase chain reaction” (PCR) di balai raya. 

Labuan merekodkan peningkatan kes setiap hari sejak seminggu lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 154 kes setakat Isnin dan pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 30 Okt.

Pulau bebas cukai itu berkait dengan empat kluster aktif — Saguking dengan 39 kes, Bah Bangat (11), Bah Bundle (22 kes termasuk yang merebak di Johor) dan Bah Layangan yang menular ke Rembau, Negeri Sembilan dengan 13 kes (hanya satu kes di Labuan).