Covid-19: Pusat Operasi Bencana Diaktifkan Seluruh Sabah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah di semua daerah diaktifkan bermula hari ini bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pusat kawalan yang dibuka itu bertujuan memastikan langkah awal dapat diambil sekiranya berlaku pertambahan kes secara mendadak.

Katanya, pusat kawalan itu juga berfungsi untuk memastikan semua bantuan yang diagih-agihkan kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kita telah memutuskan pengaktifan pusat kawalan operasi bencana daerah, semua pegawai daerah diarah mengaktifkan pusat kawalan operasi bencana daerah dan jawatankuasa keselamatan daerah agar daerah bersedia sekiranya pertambahan kes berlaku.

“Fungsi pejabat daerah sediakala iaitu bukan hanya memastikan supaya keadaan pengawalan dapat kita tingkatkan patuhi, tetapi juga pengagihan bantuan makanan yang sampai ke akar umbi akan dapat kita jayakan dalam masa terdekat khusunya di bawah perintah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKKN) Sabah hari ini.

Mohd. Shafie berkata, beberapa langkah lain turut diambil hari ini antaranya tidak membenarkan mana-mana restoran makanan segera daripada beroperasi 24 jam selepas ada permohonan dikemukakan.

Katanya, Kerajaan Sabah tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan pekerja-pekerja di restoran tersebut untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada Covid-19.

“Di samping itu yang ada permohonan KFC dan Pizza Hut diperingkat Pusat mereka memutuskan beroperasi 24 jam tetapi kita di peringkat negeri Sabah kita putuskan hanya sebelah pagi.

“Yang kita mahu lindungi pekerja-pekerja di tempat itu yang kemungkinan mereka akan bekerja 24 jam, sekurang-kurangnya 12 jam kalau mahu bawa balik panaskan sebelah malam, tetapi bukan kita mahu makan pizza hari-hari kan,” katanya.

Sementara itu, selepas mesyuarat berkenaan, Ketua Menteri turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM1 juta masing-masing kepada Jabatan Kesihatan dan semua agensi keselamatan di Sabah yang terlibat sebagai pasukan barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Peruntukan tersebut merupakan dana RM10 juta yang disediakan kerajaan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah untuk menyediakan bekalan makanan kepada semua petugas yang terlibat secara langsung berdepan virus berkenaan.