COVID-19: Polis Adakan Sekatan Jalan Raya Di Penempatan UNHCR Labuan

LABUAN: Polis mengadakan sekatan jalan di perkampungan air Kiamsam, penempatan diiktiraf Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) setelah pihak berkuasa kesihatan Labuan mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai zon merah COVID-19.

Sekatan jalan raya selama 10 hari bermula semalam itu diadakan bertujuan mengawal aliran masuk dan keluar orang ramai serta kenderaan di penempatan yang Majlis Keselamatan Nasional anggarkan mempunyai kira-kira 3,200 pelarian dan penduduk.

Pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Ghani berkata sekatan jalan itu juga bertujuan membantu melancarkan petugas kesihatan Labuan menjalankan proses pengesanan dan pemantauan kes aktif COVID-19.

“Sekatan itu tidak bermaksud untuk menghentikan orang ramai keluar masuk dari penempatan tersebut tetapi untuk memastikan mereka (pelarian dan penduduk) yang perlu dikuarantin mematuhi arahan tersebut.

“Kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa kesihatan terdapat penduduk di penempatan itu telah diperintahkan menjalani kuarantin dan perlu memakai gelang merah jambu, sehubungan itu sekatan jalan raya diperlukan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kawasan di pusat bandar pula seperti di bangunan kedai berhampiran Jalan Bunga Kemuning dan Jalan Bunga Mayang juga diisytiharkan sebagai zon merah kerana terdapat beberapa pesakit COVID-19 merupakan penyewa di kawasan itu.

Petugas kesihatan sebelum ini menghadapi cabaran besar dalam melakukan pemeriksaan dan mengesan kontak di dua penempatan pelarian UNHCR di Kg Muslim dan Kiamsam di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata penduduk di dua kawasan yang padat dengan pelarian Filipina dan pendatang asing lain itu akan menguncikan diri di dalam rumah atau melarikan diri apabila melihat kakitangan kesihatan.

Sehingga hari ini, Labuan merekodkan 1, 636 kes COVID-19 dengan sembilan kematian daripada lima kluster aktif iaitu Kluster J Bandar dengan 35 kes, Hujung Pasir (56 kes), Sky Coklat (50 kes), Saguking (413 kes) dan Titian di penempatan Kg Muslim dengan 81 kes.