COVID-19: Pitas Kini Dalam Zon Jingga

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Semua daerah di Sabah mencatatkan kes dua angka pada hari ini, dengan satu daerah bertukar dari zon kuning kepada zon jingga.

Pertambahan 11 kes positif baharu Covid-19 di Pitas menjadikan daerah itu bertukar dari zon kuning kepada zon jingga, iaitu kawasan yang merekodkan 21 hingga 40 kes Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 311 kes positif dilaporkan di 14 daerah, dengan tiga kematian dilaporkan di Sabah pada hari ini. Tiga kematian itu masing-masing dilaporkan di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau.

Daerah yang mencatatkan kes baharu Covid-19 tertinggi adalah Sandakan dengan 97 kes dan diikuti Kota Kinabalu dengan 91 kes.

Turut mencatatkan kes adalah Tuaran (24), Tawau (24), Penampang (23), Lahad Datu (14), Pitas (11), Papar (10), Kota Belud (7), Keningau (3) dan masing-masing dua kes di Kudat, Beluran dan Putatan. Manakala, satu kes dilaporan di Semporna.

Menurutnya, daripada 311 kes positif hari ini, 102 kes atau 32.8 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Selebihnya, 209 kes adalah dari lain-lain kategori.

Dengan tambahan tiga kematian hari ini, keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 192 kes. Sementara, sebanyak 398 kes pulih dilaporkan.

Setakat ini, sebanyak 26,098 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 2,385 kes aktif yang sedang menerima rawatan dimana, 660 orang dirawat di hospital dan 1,725 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 67 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini kekal dengan 6,576 katil dengan peratusan penggunaan 36.27 peratus.

Mengenai bantuan logistik, Masidi berkata, sebanyak 244 buah kenderaan disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. Daripada jumlah itu, 63 kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit Covid-19, 12 kenderaan bagi menghantar bakul makanan dan baki 169 kenderaan dalam keadaan bersedia untuk digerakkan jika perlu.