COVID-19, Penurunan Kepada 118 Kes Hari Ini

KOTA KINABALU : Jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah menurun kepada 118 kes hari ini berbanding 172 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata tiada kluster baharu dilaporkan hari ini dan penurunan sebanyak 54 kes berbanding semalam menunjukkan tren penstabilan.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata hanya lima daerah mencatatkan kes baharu dua angka, hari ini.

“Kota Kinabalu mencatat 17 kes diikuti Papar dan Tuaran dengan 15 kes, Penampang 13 kes dan Sandakan 12 kes. Ranau yang mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi semalam dengan 21 kes hanya merekodkan 2 kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Enam daerah tidak mencatatkan kes baharu hari ini.

Menurut Masidi, masyarakat perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, selain memainkan peranan sebagai petugas ‘barisan hadapan’ dalam usaha membanteras penularan virus ini di Sabah.

“Seperti yang telah nyatakan sebelum ini, turun-naik jumlah kes harian di Sabah banyak dipengaruhi oleh kemunculan kluster-kluster baharu dari masa ke masa. Sikap masyarakat yang bertanggungjawab seperti pematuhan kepada semua Prosedur Operasi Standard (SOP) juga faktor penting dalam usaha mengekalkan jumlah kes baharu Covid pada tahap yang rendah di Sabah. Semua rakyat berperanan sebagai petugas ‘barisan hadapan’ dalam usaha negeri kita membanteras penularan virus ini.”

Masidi berkata 114 daripada 118 kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

2 kes dalam kategori 3 (jangkitan atau
radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 2 kes dalam kategori 4 ((jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) , manakala tiada pesakit dalam kategori 5.