COVID-19: Peningkatan Kes Jangkitan Baharu, 137 Kes Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Peningkatan tinggi jumlah kes jangkitan baharu COVID-19 di Kota Kinabalu dan Penampang menjadi faktor utama kes harian di Sabah berada pada paras yang tinggi hari ini, iaitu 137 kes, pertambahan 12 kes berbanding 125 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 13 daerah merekodkan penurunan kes jangkitan harian.

Manakala 5 daerah mencatatkan pertambahan kes jangkitan baharu.

“Namun jumlah kes baharu yang tinggi di Kota Kinabalu dan Penampang yang berjumlah 35 kes menyebabkan peningkatan bilangan kes baharu di Sabah.

“Hanya daerah Sandakan merekodkan penurunan kes baharu yang agak besar, iaitu 9 kes.

“9 daerah kembali mencatatkan kes sifar hari ini setelah mencatatkan sekurang-kurangnya 1 kes semalam, manakala 2 daerah yang sebelumnya tidak mencatatkan sebarang jangkitan merekodkan kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata bilangan daerah yang ‘bebas’ daripada sebarang kes jangkitan baharu pula meningkat kepada 16 daerah berbanding 9 daerah semalam.

Tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Masidi berkata 136 daripada 137 kes hari ini bersamaan 99.27 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Manakala 1 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen)

Tiada kes dalam kategori 3 dan kategori 5.