COVID-19: Pelajar Asrama Positif Meningkat Kepada 28 Kes

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Setelah tiga hari berturut-turut kes positif melibatkan pelajar direkodkan melalui saringan pelajar masuk asrama, keseluruhan kes membabitkan pelajar di Sabah meningkat kepada 28 kes.

Hari ini, 10 lagi kes dikesan melalui saringan pelajar masuk asrama di Sabah. Dua hari sebelum ini, sebanyak 18 kes positif dikesan melalui saringan pelajar masuk asrama direkodkan.

Untuk hari ini, sebanyak 526 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan kes hari ini disumbangkan oleh saringan besar-besaran yang giat dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di kilang-kilang di Pantai Timur Sabah.

Untuk hari ini, Ladang Baturong, Kunak merekodkan 73 kes positif, Ladang GNG Kinabatangan (15), Ladang Matamba Lahad Datu (20) dan Ladang dan Kilang Segamaha, Kinabatangan (43).

Masidi berkata, daripada 526 kes baharu hari ini, Tawau kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 83 kes, diikuti Sandakan (77), Lahad Datu (54), Kota Kinabalu (46), Penampang (28), Kunak (24), Papar (22), Kudat (21), Pitas (21), Tuaran (19), Keningau (15), Kinabatangan (15), Kalabakan (15), Kota Belud (13), Beaufort (13), Putatan (12), Kota Marudu (10), Tambunan (10), Beluran (7), Ranau (6), Tenom (5), Semporna (4), Nabawan (3), Tongod (2) dan Sipitang (1).

Hari ini Beluran bertukar dari zon jingga kepada zon merah sementara, Kuala Penyu bertukar dari zon jingga kepada zon kuning.

Dengan itu, hanya empat daerah di Sabah tidak berada dalam zon merah iaitu Nabawan (zon jingga) dan tiga di zon kuning iaitu Tongod, Telupid dan Kuala Penyu.

Masidi berkata, daripada 526 kes positif itu, sebanyak 364 kes atau 69.2 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 80 kes, saringan kluster sedia ada 29 kes, saringan komuniti dua kes, saringan pelajar masuk asrama 10 kes dan 41 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 369 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 40,133 kes. Kes kematian di Sabah kekal 302 kes.

Setakat ini, sebanyak 44,602 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,849 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 769 orang di hospital dan 2,080 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 80 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,779 katil dan peratus penggunaan adalah 41.9 peratus.