COVID-19: Pekerja Syarikat Insuran Punca Kluster Baharu Di Penampang

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali menurun kepada 51 kes dengan dua kluster baharu dilaporkan hari ini.

Dua hari berturut-turut Sabah melaporkan dua kluster baharu dan hari ini, kluster baharu yang dilaporkan adalah kluster Sawit Sebrang, Lahad Datu dan kluster Kolam Lintas, Penampang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kluster Sawit Sebrang, Lahad Datu merekodkan sembilan kes positif dan kes indeks yang merupakan pekerja Kilang Sebrang, Mukim Silabukan dikesan melalui saringan bergejala.

“Untuk kluster Kolam Lintas pula mencatatkan tujuh kes positif dikesan dalam kalangan pekerja syarikat insuran berpejabat di Penampang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Penampang berubah dari zon kuning ke zon jingga sementara, Ranau berubah dari zon kuning ke zon hijau.

Beliau berkata, daripada 51 kes baharu hari ini, Tawau mencatatkan 13 kes diikuti dengan Keningau (11), Lahad Datu (9), Penampang (6), Kunak (4), Kota Kinabalu (2), Tuaran (2) dan satu kes di Kota Belud, Kalabakan, Putatan dan Nabawan.

Menurutnya, daripada 51 kes positif itu, sebanyak 28 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala enam kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 15 kes dan dua kes adalah dari lain-lain kategori.

Hari ini, seramai 66 orang pesakit telah sembuh, dengan bilangan kumulatif kes sembuh 53,685 orang. Manakala, kes kematian di Sabah kekal 387.

Setakat ini, sebanyak 54,521 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 391 orang pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 164 orang di hospital dan 227 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 24 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital, Pusat Tahanan Sementara/Penjara dan PKRC di Sabah 4,206 katil dan peratus penggunaan adalah 9.3 peratus.

Untuk penerima vaksin pula, sehingga kini sejumlah 41,988 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagi suntikan dos kedua Pfizer-BioNTech pula, secara kumulatif seramai 2,831 orang telah menerima suntikan.