COVID-19: Pegawai Penguatkuasa Punca Kluster Baharu Lahad Datu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat kepada 64 kes berbanding 51 kes semalam, dengan dua kluster baharu dan satu kematian dilaporkan hari ini.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut Sabah merekodkan dua kluster baharu. Hari ini, kluster baharu yang dilaporkan adalah kluster Jalan Kastam Baru, Lahad Datu dan kluster Inanam Taipan, Inanam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kluster Jalan Kastam itu membabitkan pegawai penguatkuasa yang disahkan positif melalui saringan bergejala. Sehingga kini, enam kes dilaporkan positif dalam kluster ini.

Untuk kluster Inanam Taipan pula, ia membabitkan kakitangan khidmat pelanggan di kedai menjual barangan kemas yang disahkan positif melalui saringan bergejala. Berdasarkan penelitian kes, jangkitan ini berpunca daripada komuniti.

Satu kes kematian yang direkodkan hari ini adalah di Tawau.

Hari ini, Nabawan berubah dari zon jingga ke zon merah, Lahad Datu bertukar dari zon kuning ke zon jingga dan Semporna bertukar dari zon hijau ke zon kuning.

Beliau berkata, daripada 64 kes baharu hari ini, Tawau mencatatkan 12 kes diikuti dengan Lahad Datu (9), Nabawan (8), Penampang (6), Kalabakan (5), Kota Kinabalu (4), Papar (4), Kunak (3), Kota Marudu (3), Beaufort (2) dan satu kes masing-masing di Keningau, Tuaran, Kota Belud, Putatan, Kinabatangan, Tenom, Sandakan dan Semporna.

Menurutnya, daripada 64 kes positif itu, sebanyak 22 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala sembilan kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 26 kes dan tujuh kes adalah dari lain-lain kategori.

Hari ini, seramai 48 orang pesakit telah sembuh, dengan bilangan kumulatif kes sembuh 53,733 orang. Manakala, kes kematian di Sabah meningkat kepada 388.

Setakat ini, sebanyak 54,584 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 422 orang pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 172 orang di hospital dan 250 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 29 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital, Pusat Tahanan Sementara/Penjara dan PKRC di Sabah 4,220 katil dan peratus penggunaan adalah 10 peratus.

Untuk penerima vaksin pula, sehingga kini sejumlah 42,007 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagi suntikan dos kedua Pfizer-BioNTech pula, secara kumulatif seramai 5,152 orang telah menerima suntikan.