Covid-19: Muhyiddin Diarah Kuarantin Rumah, Pegawai Mesyuarat Positif

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diarah menjalani kuarantin selama 14 hari di kediaman beliau bermula hari ini selepas mempunyai kontak dengan penghidap virus Covid-19.

Ini berikutan salah seorang individu yang menghadiri mesyuarat pasca Kabinet yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri (PMO) kelmarin disahkan positif Covid-19.

Semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.

“Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada hari Khamis, 20 Mei 2020.

“Seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat tersebut telah disahkan positif Covid- 19.

“Perdana Menteri telah menjalani ujian saringan Covid-19 pagi tadi dan disahkan negatif,” kata PMO dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, walaupun ujian saringan terhadap Muhyiddin negatif menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), beliau perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Sebagai makluman, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa,” kata PMO.