Covid-19: Makin Ramai Pelajar Tidak Hadir Sekolah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Peningkatan kes Covid-19 di Sabah mengundang kebimbangan ibu bapa sehingga ada yang tidak membenarkan anak hadir ke sekolah.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala, ibu bapa mengambil keputusan meminta kebenaran daripada guru untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

DR MISTIRINE RADIN

Hari ini, lebih separuh murid tidak hadir ke sekolah berikutan mesej tular mengenai kes Covid-19 yang dilaporkan di daerah ini.

Di beberapa buah bilik darjah, hanya sembilan hingga 12 orang murid sahaja yang hadir berbanding keseluruhan murid sekitar 30 hingga 35 orang.

Walau tiada pelajar yang disahkan positif di sekolah tersebut namun, kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak menyebabkan mereka memutuskan untuk tidak membenarkan anak mereka ke sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin ketika ditanya mengenai situasi sebegitu memaklumkan, pihak sekolah tidak boleh memaksa ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah sekiranya mereka bimbang akan keadaan anak masing-masing.

Namun, di pihak sekolah, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dilakukan.

“Kes-kes yang berlaku sebelum ini berlaku di luar sekolah. Jika ada murid atau guru yang positif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengarahkan penutupan sekolah dilakukan bagi tujuan proses disinfeksi kuman dan ujian saringan Covid-19,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak perlu risau tentang keadaan pelajar di sekolah kerana SOP yang ada sentiasa dipatuhi.

Tambahnya, jika murid tidak hadir ke sekolah mereka akan ketinggalan pelajaran yang sepatutnya dikuasai pada tahun ini.