COVID-19: Majikan Berdepan Kompaun Tidak Saring Pekerja Asing

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Majikan yang gagal melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing dalam tempoh yang ditetapkan akan dikenakan tindakan kompaun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kegagalan majikan menjalankan saringan juga boleh mengakibatkan pas kerja dan pas lawatan kerja sementara pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui.

Arahan menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing berkuat kuasa pada 1 Jan lalu sehingga 28 Feb.

Beliau berkata, setakat semalam, seramai 78,449 orang daripada 116,834 orang pekerja asing telah menjalani ujian saringan covid atau bersamaan dengan 67 peratus.

Katanya, proses saringan bagi baki pekerja asing yang belum membuat ujian saringan telah dijadualkan pada minggu ini dan minggu hadapan.

Untuk tujuan tersebut, temujanji telah diatur dengan klinik-klinik berdaftar yang telah dikenalpasti.