Covid-19: Lima Anggota Polis Ranau Disahkan Negatif

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Dua pegawai dan tiga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang disyaki mempunyai kontak dengan individu yang dijangkiti Covid-19 disahkan negatif jangkitan wabak berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, berdasarkan pemeriksaan kesihatan yang dijalankan, kesemua mereka disahkan negatif jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, kelima-lima mereka diarahkan supaya menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama tempoh 14 hari bermula pada Sabtu.

Beliau berkata, biarpun dua pegawai dan tiga anggota polis itu tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19 namun, tindakan kuarantin itu perlu diambil sebagai langkah pencegahan penularan wabak tersebut.

“Dalam kes ini, mereka pernah ada kontak. Biarpun tiada gejala ditunjukkan namun, kita ambil tindakan pencegahan. PDRM sangat mengambil berat soal kesihatan anggotanya,” katanya dalam sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) dan pemantauan premis-premis sekitar Penampang, di sini semalam.

Menurutnya, sebelum ini kesemua lima anggota polis itu berurusan dengan individu yang membuat laporan polis.

Selepas itu, seorang individu didapati positif jangkitan Covid-19. Maka, pihak hospital mengesan balik sesiapa yang mempunyai kontak dengan individu berkenaan.

Katanya, lima anggota polis itu antara yang mempunyai kontak dengan invidiu berkenaan. Maka, mereka diminta untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Namun,  pemeriksaan itu menunjukkan mereka negatif jangkitan Covid-19.

Mengulas lanjut,  Zaini berkata, tiada keperluan untuk menutup IPD Ranau bagi menjalankan proses pembasmian kuman susulan kejadian itu.