Covid-19: Lelaki Berusia 90 Tahun Antara Kematian di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah terus menurun kepada 311 kes berbanding kes yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga lagi kematian dilaporkan di Sabah membabitkan dua warganegara dan satu bukan warganegara. Tiga kematian itu masing-masing dilaporkan di Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Kesemua kematian lagi melibatkan pesakit berusia antara 68 hingga 90 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 335 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 192 kes.

Secara keseluruhan sebanyak tiga kluster baharu dilaporkan iaitu kluster Pengkalan Barat di Pulau Pinang dan Perak dengan 19 kes positif; kluster Bakti, Negeri Sembilan dengan 16 kes; dan kluster Bayam Indah, Kedah dengan 10 kes.

Hari ini, sebanyak 1,096 kes positif baharu dilaporkan di seluruh negara, 1,090 kes adalah jangkitan tempatan manakala, enam kes import.

Sementara, 13 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan bilangan kumulatif sebanyak 1,240 kes.

Bilangan kes pulih hari ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan iaitu dengan 1,104 kes. Manakala, bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 41,597 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 54,775 kes. Sebanyak 12,843 kes aktif dengan 106 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 46 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.