Covid-19: Lebih Separuh Kes Sabah Dicatatkan di Kota Kinabalu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Daerah ini mencatatkan 535 kes positif baharu dimana, 439 kes disumbangkan melalui kluster Penjara Kepayan.

Kes itu merupakan kes tertinggi dicatatkan di Kota Kinabalu setakat ini. Dengan itu, kes di Kota Kinabalu sehingga kini mencecah 3,992 kes.

Setakat ini, empat kluster direkodkan di Kota Kinabalu iaitu kluster Penjara Kepayan, kluster Atap, kluster Sauh dan kluster Bandaran.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 927 kes baharu dilaporkan di 20 daerah di Sabah.

Daerah lain yang mencatatkan kes yang tinggi adalah Tawau dengan 81 kes baharu, Sandakan (64), Kudat (47), Lahad Datu (46), Tuaran (28), Penampang (27) dan Putatan (23).

Selain itu, Semporna mencatatkan 16 kes baharu, Keningau (11), Kinabatangan (11), Papar (10), Kota Belud (10), Kunak (6), Kota Marudu (4), Pitas (3), Telupid (3), Nabawan (2) dan masing-masing satu kes di Beaufort, Tenom dan Ranau.

Hari ini tujuh kematian dilaporkan di Sabah masing-masing tiga kematian di Kota Kinabalu, dua di Sandakan, satu di Tawau dan Tuaran. Pertambahan tujuh kes ini menjadikan bilangan kes kematian yang dilaporkan di Sabah adalah sebanyak 105 kes.

Satu kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Kapor, Kudat dengan 46 kes.

Sehingga kini, sebanyak 12,745 Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 7,164 kes aktif yang sedang menerima rawatan. Manakala, bilangan keseluruhan kes yang telah pulih adalah sebanyak 5,476 kes.