Covid-19: Lapan Kematian Di Sabah, Tertinggi Sejak Pandemik Berlaku

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini dan ia merupakan kes kematian tertinggi direkodkan di negeri ini sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lapan kes itu, lima kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, dua kematian di Kota Kinabalu iaitu di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta satu kematian di Hospital Tuaran.

Dengan 10 kes kematian terbaru dilaporkan hari ini, ia menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 214 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 84 kes.

Secara keseluruhan, sebanyak 710 kes positif baharu dilaporkan di Malaysia, dengan 528 kes dilaporkan di Sabah.

Tiga kluster baharu dilaporkan di Malaysia,  iaitu kluster Samudera, Sandakan; kluster Palma di Kuala Lumpur dan Selangor serta kluster Jaya, Selangor.

Sementara, satu kes kematian dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan, dengan 19 kes positif baharu.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 24,514 kes. Sebanyak 8,416 kes aktif dengan 90 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 28 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 467 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 15,884 kes.