Covid-19: Lagi Tiada Kes Baharu Dicatatkan Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi tidak melaporkan sebarang kes baharu bagi pesakit yang disahkan positif Covid-19 hari ini.

Dengan itu, jumlah kes di Sabah kekal 197 kes seperti yang dilaporkan semalam.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada sebarang kes baharu dilaporkan hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Sabah tidak merekodkan sebarang kes baharu Covid-19.

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi menyatakan Sabah berdepan kekurangan reagen bagi menjalankan ujian sampel bagi mengesan kes positif Covid-19 di makmal. Maka, bilangan kes yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar jumlah pesakit positif.

Sehingga kini, 16 daripada 25 daerah di Sabah merekodkan kes positif Covid-19 termasuk satu daerah baharu, iaitu Tambunan dengan kes pertama dilaporkan semalam.

Semalam, statistik menunjukkan Keningau sebagai daerah baharu yang mencatatkan kes Covid-19 namun, kes itu diklasifikasikan sebagai kes di Tambunan.

Setakat semalam, lima daerah sahaja menunjukkan pertambahan kes baharu iaitu masing-masing empat kes di Tawau dan Sandakan, tiga kes di Kota Kinabalu dan Kinabatangan serta satu kes di Keningau.

Dengan pertambahan empat kes baharu hari ini, menjadikan Tawau kekal berada sebagai daerah yang mencatatkan kes tertinggi di Sabah dengan 57 kes.

Manakala, Lahad Datu kekal 34 kes; Kota Kinabalu 29 kes; Sandakan 15 kes; Kinabatangan 14 kes; diikuti dengan Tuaran 12 kes; tujuh kes di Beaufort dan Kunak; serta enam kes di Putatan.

Manakala, lima kes di Kota Belud; empat kes di Sipitang; dua kes masing-masing di Papar dan Ranau; serta satu kes di Semporna dan Penampang.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 34 kematian di seluruh Malaysia termasuk satu kes kematian hari ini.

Untuk hari ini, KKM melaporkan 150 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,470 kes termasuk 388 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Sebanyak 73 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 52 memerlukan bantuan alat pernafasan.