COVID-19, Lagi Kluster Institusi Pendidikan Di Sabah, Kes Melonjak Kepada 314

KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah melonjak lebih dua kali ganda kepada 314 kes hari ini berbanding 118 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata satu lagi kluster institusi pendidikan dikenali Kluster Jalan Sri Balung direkodkan di Tawau hari ini.

Kluster Jalan Sri Balung, Tawau adalah kluster institusi pendidikan yang keenam dalam tempoh sembilan hari di Sabah.

Kes indeks adalah seorang pelajar lelaki tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung yang tinggal di asrama.

“Pesakit mula bergejala pada 19 Januari lalu dan menjalani saringan RTK-Ag di klinik kesihatan sebelum disahkan positif COVID-19  pada 21 Januari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Saringan ke atas kontak rapat mendapati 17 pelajar lagi positif menjadikan jumlah yang terlibat seramai 18 orang setakat ini. Kesemua pelajar yang dijangkiti adalah dalam kategori 1 dan 2 dan telah diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai.”

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata jumlah kes harian di Sabah melonjak lebih dua kali ganda hari ini, pertambahan 196 kes berbanding semalam.

“Berdasarkan laporan harian yang disediakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), kenaikan mendadak kes baharu hari ini berpunca saringan kes positif yang agak tinggi di kalangan kontak rapat dan kes baharu daripada  kluster-kluster yang aktif.”

Katanya, 64 kes baharu hari ini direkodkan dari kluster aktif dan 143 kes lagi adalah dari dikalangan kontak rapat.

“4 daerah mencatatkan angka jangkitan baharu yang agak tinggi iaitu Sandakan 68 kes, Kota Kinabalu 61 kes, Beaufort 39 kes dan Tuaran 34 kes.”

Menurut beliau, secara keseluruhannya, terdapat 9 daerah mencatat kes baharu dua angka, 14 daerah mencatat kes baharu satu angka dan 4 daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu.

Sebanyak 312 daripada 314 kes baharu hari ini adalah dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Dua kes dalam kategori tiga (jangkitan atau radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen) manakala tiada pesakit dalam kategori empat dan lima.