Covid-19: Lagi 4 Kematian, 23 Kes Kematian Dilaporkan Di Malaysia

KUALA LUMPUR : Terdapat empat kes kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripada mereka ini ialah peserta perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 3 Mac lalu.

Katanya, dengan pertambahan empat kes hari ini, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 23 kes.

Kes kematian ke-20 merupakan seorang lelaki berusia 76 tahun yang disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, semalam di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan.

Manakala, kes kematian ke-21 merupakan lelaki warga Malaysia berusia 63 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

“Beliau menunjukkan gejala dan menjalani saringan pada 22 Mac. Kemudian beliau disahkan positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah keesokan hari.

“Semasa dalam rawatan, kesihatan beliau merosot dan disahkan meninggal dunia pada hari ini jam 4 pagi,” katanya.

Manakala, kes kematian ke-22 merupakan lelaki berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Sementara itu, kes kematian ke-23 merupakan lelaki berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Kes ke-23 ini masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster Covid-19.