COVID-19: Kluster Sinsingon, Nabawan Catat Peningkatan Kes Mendadak

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 157 kes, hari ini.

Peningkatan kes ini disumbangkan oleh kluster Sinsingon, Nabawan yang mula menular ke Kota Kinabalu, Beaufort dan Keningau. Hari ini, 67 kes dikesan dalam kluster ini dan bilangan kumulatif sebanyak 142 kes positif.

Kluster ini dikesan berlaku dalam sebuah majlis pengebumian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hari ini satu lagi daerah bertukar kepada zon hijau iaitu Kuala Penyu manakala, Beluran dan Tambunan berubah dari zon jingga kepada zon kuning.

Sehingga kini, dua zon hijau dicatatkan di Sabah, 11 zon kuning, satu zon jingga dan 13 zon merah.

Beliau berkata, daripada 157 kes baharu hari ini, Nabawan kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 65 kes, diikuti dengan Keningau (38), Kota Kinabalu (18), Sandakan (14), Lahad Datu (7), Tawau (4), Kalabakan (3) dan masing-masing satu kes di Penampang, Papar, Putatan, Beluran, Semporna, Kota Belud, Tuaran dan Beaufort.

Menurutnya, daripada 157 kes positif itu, sebanyak 45 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 11 kes, saringan kluster sedia ada 90 kes dan 11 kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 178 kes dengan bilangan kumulatif 51,362 kes. Manakala, kematian di Sabah kekal 372 kes.

Setakat ini, sebanyak 52,752 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 800 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 263 orang di hospital dan 529 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 37 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,698 katil dan peratus penggunaan adalah 14.04 peratus.

Sepanjang tempoh 24 jam, sebanyak 30,564 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan di seluruh Sabah dan 18 buah kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 16 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.