COVID-19: Kes Turun Kepada 167, 43.71% Jangkitan Sporadik

KOTA KINABALU: Tahap pematuhan yang tinggi ke atas semua prosedur operasi standard (SOP) adalah faktor utama yang menyumbang kepada jumlah kes jangkitan COVID-19 harian yang lebih rendah di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata adalah amat diharapkan ‘disiplin tinggi’ yang telah ditunjukkan oleh rakyat Sabah akan terus dipraktikkan walaupun negara kini dalam fasa peralihan ke endemik.

“Kunci kejayaan kita menjadikan Sabah antara negeri yang mencatatkan kes harian yang terendah sejak kebelakangan ini ialah tahap pematuhan SOP yang tinggi dikalangan rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata negeri ini mencatatkan 167 kes positif baharu COVID-19 hari ini, penurunan 67 kes berbanding 234 kes semalam.

Ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 368,080 kes.

Tiada kes kematian dan tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

301 pesakit COVID-19 telah sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 352,705 orang.

“Secara keseluruhannya, terdapat tanda-tanda penstabilan di kebanyakan daerah dengan perubahan kes harian pada kadar yang lebih rendah dan terkawal kecuali di beberapa daerah ‘volatile’ seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran yang sukar diramal.

“Jangkaan kes harian di kebanyakan daerah kini agak mudah diramal kerana sudah berada di tahap yang dianggap stabil,” katanya.

Menurut Masidi, Kota Kinabalu
mencatatkan jumlah kes jangkitan baharu yang tertinggi di Sabah hari ini dengan 26 kes, menurun 32 kes berbanding semalam.

Ini diikuti Papar dengan 21 kes, Penampang 17 kes dan Tuaran 14 kes.

“Seperti yang telah dinyatakan lebih awal, Kota Kinabalu antara daerah yang sukar untuk meramalkan pergerakan serta perubahan jumlah kes harian.

“Kes harian boleh berubah secara mendadak kerana Kota Kinabalu adalah ibu negeri yang padat dengan penduduk serta menjadi pusat utama aktiviti ekonomi di Sabah,” katanya

Masidi berkata daerah yang terletak jauh dari bandar besar dengan jumlah penduduk yang kecil, mencatatkan jumlah kes harian yang jauh lebih rendah setiap hari, malah tidak mencatatkan sebarang kes jangkitan baharu.

Katanya, peratusan jangkitan sporadik turun di bawah paras 50% hari ini dengan 43.71%.

Menurutnya, dengan peratusan yang lebih rendah, risiko jangkitan juga akan berkurangan dan jumlah jangkitan baharu akan menurun.

Katanya 158 orang daripada 167 pesakit baharu hari ini bersamaan 94.6 peratus
adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

1 kes dalam kategori 3 (jangkitan atau
radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 4 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala 4 kes dalam kategori 5 (pesakit kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).