Covid-19: Kes Sabah Meningkat Kepada 238 Dengan Satu Lagi Kematian

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Enam daerah di Sabah menunjukkan pertambahan kes positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 238 kes, hari ini.

Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, selain pertambahan kes baharu, Sabah turut mencatatkan satu lagi kematian di Tambunan.

Dengan itu, dua kes kematian dilaporkan di Sabah sehingga kini. Kematian pertama adalah pada 20 Mac lalu di Hospital Tawau.

Enam daerah yang mencatatkan pertambahan kes adalah Kota Kinabalu dengan lima kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Ibu negeri Sabah ini menjadi 34 kes.

Sementara, Kinabatangan merekodkan 17 kes dengan tiga kes baharu; Tuaran 17 kes dengan satu kes baharu; dan Beaufort sembilan kes dengan satu kes baharu.

Turut merekodkan pertambahan adalah daerah Kunak lapan kes termasuk satu kes baharu serta Penampang enam kes dengan dua kes baharu.

Manakala daerah lain seperti Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Putatan, Kota Belud, Sipitang, Papar, Ranau, Penampang dan Semporna tidak menunjukkan sebarang peningkatan kes pada hari ini.

Jumlah kes yang telah pulih sehingga kini adalah sebanyak 34 orang.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 61 kematian di seluruh Malaysia termasuk empat kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini.

KKM melaporkan 179 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 3,662 kes. Ia termasuk 1,005 kes yang sudah pulih, setakat ini.

Seramai 99 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 48 memerlukan bantuan alat pernafasan.