Covid-19: Kes Sabah Dijangka Meningkat Mendadak

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Saringan Covid-19 yang masih dijalankan di Penempatan Telipok dan Kampung Numbak yang mempunyai penduduk padat sekitar 21,000 orang dijangka akan menyumbang kepada kenaikan kes di daerah ini dalam masa terdekat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, ketika ini saringan sedang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan hasil keputusan ujian ini nanti dijangka akan menyebabkan kes meningkat.

Namun, ia bergantung kepada proses ujian yang dijalankan.

Penempatan Telipok dan Kg Numbak telah diletakkan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 16 hingga 29 November ini.

Untuk hari ini, sebanyak 346 kes positif baharu dilaporkan di Sabah, dengan tiga lagi kematian. Tiga kematian itu dilaporkan di Lahad Datu, Kudat dan Keningau.

Daerah ini kembali mencatatkan kes tertinggi dengan 109 kes, diikuti dengan Lahad Datu (54), Kudat (49), Tuaran (45), Sandakan (36), Tawau (13), Semporna (12), Beluran (7), Papar (5) dan tiga kes di Beaufort dan Putatan.

Manakala, dua kes dilaporkan di Penampang, Kota Belud dan Kota Marudu. Sementara satu kes masing-masing di Pitas, Kuala Penyu, Keningau dan Sipitang.

Dengan tambahan kes Beaufort dan Beluran, kedua-dua daerah ini bertukar dari zon kuning kepada zon jingga, iaitu kawasan yang mencatatkan 21 hingga 40 kes.

Menurutnya, daripada 346 kes positif hari ini, 127 kes atau 36.71 peratus ikesan melalui saringan kontak rapat di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat. Selebihnya, 219 kes adalah dari lain-lain kategori.

Dengan tambahan tiga kematian hari ini, keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 189 kes. Sementara, sebanyak 369 kes pulih dilaporkan.

Setakat ini, sebanyak 25,787 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 2,373 kes aktif yang sedang menerima rawatan dimana, 645 orang dirawat di hospital dan 1,728 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 72 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini kekal dengan 6,576 katil dengan peratusan penggunaan 36.09 peratus.