COVID-19: Kes Positif Meningkat Kepada 110 Kes, Satu Kematian

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu di Sabah meningkat semula kepada tiga angka, kepada 110 kes dengan satu kematian dilaporkan hari ini.

Hari ini Tenom bertukar dari zon jingga kepada zon kuning. Ini menjadikan daerah dalam zon kuning di Sabah menjadi lapan daerah. Manakala, enam daerah dalam zon jingga dan 13 daerah masih berada dalam zon merah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, satu kematian hari ini dilaporkan di Kota Kinabalu.

Peningkatan kes hari ini berikutan satu kluster sedia ada, iaitu kluster Ladang Sungai Pin di Kinabatangan yang mencatatkan 24 kes.

Beliau berkata, daripada 110 kes baharu hari ini, Kinabatangan mencatatkan kes tertinggi dengan 30 kes, diikuti dengan Kalabakan (14), Kota Kinabalu (9), Penampang (7), Keningau (7), Beaufort (7), Tawau (6), Sandakan (6), Tuaran (6), Telupid (4), Lahad Datu (3) dan dua kes di Nabawan, Putatan dan Beluran.

Sementara itu, satu kes masing-masing di Kota Marudu, Semporna, Tenom, Kudat dan Pitas.

Menurutnya, daripada 110 kes positif itu, sebanyak 44 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala enam kes, saringan kluster sedia ada 48 kes, saringan Perkeso satu kes, dan 11 kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 122 kes dengan bilangan kumulatif 50,714 kes. Manakala, kematian di Sabah meningkat kepada 369 kes.

Setakat ini, sebanyak 52,174 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 787 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 310 orang di hospital dan 474 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta tiga orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 46 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,838 katil dan peratus penggunaan adalah 13.48 peratus.

Satu PKRC iaitu PKRC Politeknik Kota Kinabalu yang dibuka sejak 9 Oktober tahun lepas ditutup secara rasmi untuk persediaan pembukaan kolej.

Bantuan bakul makanan pula sudah diagihkan kepada 145,454 penerima yang terdiri daripada golongan yang terkesan dibawah Program Bantuan Prihatin Covid-19 2.0.