COVID-19: Kes Positif 389, Lapan Kematian

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun kepada 389 kes dengan lapan kes kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, lapan kematian itu masing-masing tiga kes di Lahad Datu, dua di Penampang, satu di Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran.

Setakat ini, 22 daerah di Sabah dalam zon merah, dua daerah zon jingga dan tiga daerah lagi zon kuning. Hanya kawasan pedalaman Sabah sahaja berada dalam zon kuning iaitu Nabawan, Telupid dan Tongod.

Beliau berkata, daripada 389 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 105 kes, diikuti Penampang (41), Sandakan (36), Tawau (36), Lahad Datu (28), Keningau (22), Putatan (18), Tambunan (15), Kunak (13), Papar (12), Kinabatangan (8), Sipitang (8), Kota Marudu (8), Kota Belud (7), Beaufort (7), Kudat (6), Tuaran (6), Semporna (5), Tenom (2), Pitas (2) dan satu kes di Kalabakan, Ranau, Beluran dan Telupid.

Masidi berkata, daripada 389 kes positif itu, sebanyak 281 kes atau 72.3 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 68 kes, saringan kluster-kluster sedia lapan kes dan 32 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 276 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 38,240 kes. Kes kematian di Sabah kekal 295 kes.

Setakat ini, sebanyak 42,288 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,886 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 766 orang di hospital dan 2,120 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 73 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.