COVID-19: Kes Di Sabah Meningkat Kepada 57, 63% Jangkitan Sporadik

KOTA KINABALU : Jumlah kes jangkitan baharu COVID-19 di Sabah meningkat 18 kes kepada 57 kes berbanding 39 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata seperti yang telah diramalkan sebelum ini, kes jangkitan harian akan meningkat semasa dan selepas sambutan perayaan Aidil Fitri dan Pesta Kaamatan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati hati dan mematuhi prosedur operasi standard SOP semasa menyambut perayaan khususnya jika melibatkan penyertaan ramai orang.

Menurut Masidi, peratusan jangkitan sporadik masih tinggi iaitu 63% daripada semua kes baharu yang dilaporkan hari ini yang bermakna risiko jangkitan tetap tinggi.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata secara keseluruhannya lebih banyak daerah mencatatkan pertambahan jangkitan baharu berbanding daerah2 yang mencatatkan penurunan walaupun dalam kadar yang marginal.

Sebanyak 10 daerah tidak merekodkan sebarang kes positif baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu manakala 5 daerah mencatatkan satu kes baharu sahaja.

“Kota Kinabalu satu-satunya daerah yang mencatatkan kes jangkitan baharu dua angka dengan jumlah jangkitan baharu yang lebih tinggi sebanyak 18 kes berbanding11 kes semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata Tuaran merekodkan pertambahan kes harian daripada 2 kes semalam kepada 7 kes hari ini, Penampang dan Sandakan masing-masing melaporkan 4 kes manakala Lahad Datu, Putatan, Ranau dan Tawau masing-masing mencatatkan 3 kes baharu.

2 kes baharu direkodkan di Beaufort, Kuala Penyu dan Papar.

Katanya, 54 daripada 57 pesakit baharu hari ini bersamaan 94.74 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Tiada kes dalam kategori 3 (jangkitan atau
radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 2 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala 1 kes dalam kategori 5 (pesakit kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).