COVID-19 : Kes Di Sabah Melonjak Kepada 261, Tertinggi Sejak 1 April 2022

KOTA KINABALU : Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 di Sabah hari ini melonjak
kepada 261 kes hari ini, pertambahan 80 kes berbanding 181 kes semalam.

Ia angka tertinggi sejak 1 April lalu yang merekodkan 270 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata seperti yang telah diberi peringatan sebelum ini, kadar positiviti yang tinggi adalah satu indikator bahawa kadar penularan virus juga semakin cepat.

“Hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan kadar positiviti 15.68% ke atas 2,800 sampel ujian, jauh lebih tinggi daripada kadar positiviti semalam.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah mengingatkan orang ramai agar mengambil maklum perkembangan ini sebagai peringatan bahawa kadar penularan virus semakin cepat. Risiko jangkitan semakin tinggi.

Menurut Masidi, 14 daerah merekodkan peningkatan kes positif baharu berbanding hanya 6 daerah yang mencatatkan penurunan kes.

8 daerah tidak mencatatkan sebarang kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Katanya, Penampang mencatatkan pertambahan tertinggi kes jangkitan Covid-19 dengan 34 kes, menjadikan 49 kes baharu di daerah itu hari ini berbanding 15 kes semalam.

Manakala kes di Putatan naik 16 kes kepada 17 kes hari ini Lahad Datu naik 11 kes berbanding sifar kes semalam serta Kota Belud mencatat 6 kes berbanding sifar kes semalam.

Daerah Kota Marudu dan Tawau masing-masing naik 5 kes.

Kota Kinabalu pula merekodkan 83 kes, penurunan 6 kes berbanding 89 kes semalam, manakala Papar kekal dengan 18 kes dan Tuaran turun 5 kes kepada 11 kes.

Tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Masidi berkata 258 daripada 261 kes yang direkodkan hari ini bersamaan 98.85 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

1 kes dalam kategori 3 (jangkitan atau
radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 1 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala 1 kes dalam kategori 5 (pesakit kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).