Covid-19: Kes Di Sabah Kekal 338

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Tiada kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini dan jumlah kes keseluruhan masih kekal sebanyak 338.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, setakat ini, sembilan daerah masih mencatatkan kes aktif dengan jumlah kes aktif tertinggi adalah di Kota Kinabalu dengan 10 kes, diikuti Lahad Datu dan Kinabatangan masing-masing dengan empat kes.

Terdapat tiga kes aktif masing-masing dilaporkan Semporna dan Tuaran, dua kes di Kenigau dan Tawau, serta satu kes di Penampang dan Kunak.

Bilangan kumulatif kes pulih setakat ini juga masih kekal sebanyak 303 kes.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan lima kes iaitu tiga kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

Manakala, sebanyak 50 kes baharu positif turut dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini dan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 7,059 kes.

Satu kluster baru turut dikesan membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil, Kuala Lumpur di mana 645 orang telah disampel dan 35 daripadanya disahkan positif.

Kesemua kes positif itu membabitkan 17 warga Myanmar, 15 warga India, dan masing-masing seorang warga Sri-Lanka, Bangladesh, dan Mesir.

Sebanyak 90 kes pulih juga dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 5,796 kes.

Terdapat 10 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tiada sebarang kes kematian dilapoorkan pada hari ini dan jumlah kes kematian di Malaysia setakat ini kekal sebanyak 114 kes.