Covid-19: Kes Baharu Di Putatan Berkaitan Hospital Wanita Dan Kanak-kanak

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Putatan semalam merupakan kes tempatan berkaitan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, pesakit tersebut kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Katanya, dengan penambahan satu kes baharu itu, Sabah kini mencatatkan sebanyak 347 kes positif Covid-19.

“Pada 31 Mei 2020, sejumlah 1,329 ujian telah dijalankan, menjadikan jumlah kumulatif ujian bagi Sabah berjumlah 91,699 dan daripada jumlah ujian tersebut, satu sampel positif merupakan sampel untuk kes baharu.

“Selain itu, sehingga 31 Mei 2020, seramai 7,223 orang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah manakala seramai 926 orang masih berada di 46 buah pusat kuarantin di seluruh Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan sentiasa memastikan bekalan keperluan perubatan seperti alat peratan perlindungan diri (PPE) di fasiliti kesihatan dan penghantaran sampel ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu dan Makmal Patologi Hospital Queen Elizabeth tidak tergendala.

Justeru, beliau berkata, sebanyak 20 penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diatur untuk penghantaran peralatan perubatan, makmal dan PPE dari Semenanjung  ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu setakat 31 Mei lalu.

“Seramai 40 anggota kesihatan terlibat dalam operasi khas penghantaran dan pemunggahan peralatan yang diterima.

“Bagi pengangkutan darat pula, seramai 20 orang pemandu yang bertugas di pelbagai unit di Ibu pejabat JKNS telah bergilir-gilir setiap hari menghantar peralatan keperluan fasiliti kesihatan di seluruh Negeri Sabah,” jelas kenyataan itu.

Katanya, pihak JKNS amat menghargai pengorbanan dan segala usaha pihak yang terlibat  dalam memerangi wabak Covid-19 di negeri ini.