Covid-19: Kes Aktif Kota Kinabalu Lebih 3,000 Kes

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dalam masa seminggu, Kota Kinabalu muncul sebagai daerah mencatatkan kes Covid-19 tertinggi di seluruh Sabah.

Sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, kawasan Pantai Timur Sabah memperlihatkan peningkatan kes yang ketara. Namun, dalam tempoh lebih seminggu peningkatan kes di Kota Kinabalu telah mengatasi kes di Pantai Timur Sabah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam Facebook PKN Sabah memaklumkan, sehingga kini bilangan kumulatif kes yang dicatatkan di Kota Kinabalu berjumlah 3,992 kes, dengan 3,399 kes aktif yang sedang dirawat di hospital.

Selain itu, turut mencatatkan kes tertinggi setakat ini adalah Tawau dengan 2,278 kes, dengan 1,165 kes aktif. Kemudian diikuti dengan Semporna yang kini mencatatkan sebanyak 1,759 kes, dengan 750 kes aktif.

Manakala, Sandakan mencatatkan 1,302 kes, dengan 943 kes aktif sementara, sejumlah 1,048 dengan 583 kes aktif dicatatkan di Lahad Datu.

Sehingga kini, sebanyak 714 kes dilaporkan di Tuaran, Papar (414), Penampang (390), Putatan (330), Kunak (313), Kudat (275), Kota Belud (179), Keningau (135) dan Kinabatangan (108).

Terdapat 11 daerah mencatatkan bilangan kumulatif kes di bawah 100 iaitu Ranau dengan 93 kes, Beaufort (82), Tambunan (59), Kota Marudu (41), Sipitang (33), Pitas (33), Tenom (25), Kuala Penyu (18), Telupid (13), Beluran (9) dan Nabawan (8).

Hanya daerah Tongod kekal sebagai zon hijau kerana tidak mencatatkan kes aktif. Sejak Mac, Tongod hanya melaporkan lima kes Covid-19.

Sehingga semalam, terdapat 44 kluster dilaporkan di Sabah. Manakala, bilangan kes kematian yang dilaporkan di Sabah adalah sebanyak 105 kes.

Sehingga kini, sebanyak 12,745 Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 7,164 kes aktif yang sedang menerima rawatan. Manakala, bilangan keseluruhan kes yang telah pulih adalah sebanyak 5,476 kes.