Covid-19: Kematian ke-20 Malaysia Di Kelantan

KUALA LUMPUR: Pertambahan satu lagi kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Kelantan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di Malaysia meningkat kepada 20 kes setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, satu lagi kes kematian baharu dilaporkan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan melibatkan lelaki berusia 76 tahun yang disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, semalam.

Lelaki berkenaan merupakan salah seorang peserta Perhimpunan Tabligh Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 3 Mac lalu.

Sehingga laporan 5 petang semalam, tiga kes kematian telah direkodkan dan semuanya pesakit yang berada di Johor.

Dua kematian pertama di Malaysia dilaporkan pada 17 Mac lalu melibatkan lelaki berusia 34 tahun dari kluster perhimpunan tabligh di Johor dan paderi berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 172 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,796 kes termasuk 199 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Daripada 172 kes baharu itu, 71 adalah daripada kluster perhimpunan tabligh.

Sebanyak 45 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.