Covid-19: Kematian Di Sabah Meningkat Kepada 51 Kes

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Lima daripada enam kes kematian akibat jangkitan Covid-19 yang dilaporkan hari ini, adalah di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lima kes kematian di Sabah itu masing-masing tiga kes dilaporkan di di Hospital Queen Elizabeth dan satu kes masing-masing di Hospital Semporna dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Kesemua pesakit yang berusia antara 39 hingga 74 tahun itu mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang dan strok.

Manakala, satu kematian melibatkan bukan warganegara dilaporkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 176 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 51 kes.

Untuk kes baharu, daripada 627 kes positif baharu yang dilaporkan, 489 kes adalah di Sabah.

Noor Hisham berkata, peningkatan kes di Sabah ini susulan lebih banyak keputusan ujian makmal telah diperoleh.

Sementara, 19 kes positif baharu yang merupakan jangkitan ditempatan dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebanyak tiga kluster baharu di seluruh negara, iaitu kluster Lekir di Manjung Perak; kluster Buntar di Kedah, Perak dan Putrajaya; dan kluster Merbuk, Selangor.

Pertambahan kes baharu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 18,758 kes. Sebanyak 6,323 kes aktif dengan 99 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 31 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 245 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 12,259 kes.

Sejak 20 September hingga hari ini, sebanyak 437 kes positif melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.